Dadah bernilai hampir RM500,000 ditemui dalam kondominium

Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Miharja, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Miharja, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Miharja di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota JSJN kira-kira jam 1.50 petang itu menyaksikan seramai tujuh individu berusia 23 hingga 32 tahun terdiri empat lelaki tempatan serta tiga wanita Vietnam ditahan.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ialah serbuk MDMA seberat kira-kira 7.44 kilogram (kg) selain ekstasi (450 biji), ganja (15.14 gram) dan cecair MDMA (12.15 liter) dianggarkan keseluruhan bernilai RM462,462.85.

"Turut dirampas ialah dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Volkswagen Passat serta wang tunai RM4,481.

"Dengan tangkapan semua suspek ini, polis percaya dapat menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan asing di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan: