MMM gesa media lindungi identiti kanak-kanak

Kenyataan dikeluarkan MMM pada Jumaat
Kenyataan dikeluarkan MMM pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa organisasi media supaya melindungi identiti kanak-kanak yang terlibat dalam sesuatu insiden, sama ada sebagai suspek, mangsa atau saksi.

MMM dalam makluman media berkata, Kod Tatalaku MMM memperuntukkan perlindungan khusus kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan kepentingan mereka hanya boleh diketepikan sekiranya terdapat manfaat awam yang luar biasa.

Menurutnya, nama, gambar dan lokasi boleh mendedahkan identiti kanak-kanak tidak boleh diterbitkan, termasuk maklumat membolehkan identiti mereka dikenal pasti secara tidak langsung seperti umur, kelas, latar belakang keluarga dan akaun media sosial.

MMM turut mengingatkan media supaya mengesahkan bahan yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi pemesejan sebelum melaporkannya sebagai fakta.

Penerbitan nota, mesej, tangkap layar, gambar atau video peribadi kanak-kanak juga perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan ia benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat dan tidak menyebabkan kemudaratan yang tidak perlu.

"Selain itu, kanak-kanak yang disyaki terlibat dalam kes jenayah, termasuk mereka yang berada dalam tahanan polis, hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Pihak editorial juga perlu mengelakkan spekulasi mengenai motif, kesihatan mental dan keadaan keluarga, selain tidak mensensasikan insiden melalui tajuk berita, gambar atau video," menurut maklumat media berkenaan.

MMM berkata, organisasi media hendaklah menyemak laporan sedia ada dan membuat pembetulan, pindaan atau menurunkan kandungan sekiranya terdapat ketidaktepatan atau pendedahan maklumat pengenalan yang tidak perlu.

Menurutnya, pelaporan bertanggungjawab perlu mengambil kira privasi, maruah dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta keluarga yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang terkesan secara peribadi akibat liputan media yang dipercayai melanggar piawaian berkenaan boleh mengemukakan aduan melalui Mekanisme Aduan MMM," menurut MMM.

Kod Tatalaku MMM boleh dirujuk di:https://majlismedia.my/publications/code-of-conduct-as-at-31-mar-202623 Oktober 2026

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!