Pelajar serang guru: 24 individu dirakam percakapan - Polis

KUCHING - Seramai 24 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah swasta di Kuching.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Khamis pihak polis telah mengambil beberapa tindakan bagi membantu melengkapkan siasatan.
"Seramai 24 orang telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
"Rakaman percakapan melibatkan pengadu, mangsa, pegawai perubatan, pegawai yang terlibat dalam tindakan tangkapan dan rampasan, ibu bapa individu yang disiasat, pemandu keluarga, pihak sekolah serta pelajar sekolah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, suspek yang masih menerima rawatan di hospital akan disiasat mengikut keadaan kesihatannya, tertakluk kepada nasihat dan penilaian pegawai perubatan serta prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.
"Untuk makluman, suspek kini masih menerima rawatan di hospital dan pihak polis meneruskan tindakan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta tertakluk kepada nasihat dan penilaian pihak pegawai perubatan, disamping memastikan segala prosedur undang-undang yang berkuatkuasa dipatuhi," katanya.
Bagaimanapun, dalam masa PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti yang berkaitan.
"Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan fakta yang diperoleh dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"PDRM juga mengambil serius aspek sensitiviti semua pihak, khususnya kebajikan mangsa dan pelajar yang terlibat," katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta menghormati privasi mereka dan tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi yang boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana pihak, khususnya individu bawah umur.
"PDRM Kontinjen Sarawak komited untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara adil, objektif dan berlandaskan kedaulatan undang-undang," katanya.
Pada Rabu lalu, Saifullizan mengesahkan seorang guru wanita cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dengan menggunakan kapak di sebuah sekolah antarabangsa di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
