73 laporan polis babit penipuan perancang perkahwinan, kerugian hampir RM1 juta

IPOH - Polis telah menerima 73 laporan polis berhubung kes penipuan perkhidmatan perancang perkahwinan (wedding planner) membabitkan penjawat awam dengan jumlah kerugian hampir RM1 juta.
Laporan terhadap lelaki berusia 31 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut tular di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, idividu berkenaan telahpun diambil tindakan dan didakwa di mahkamah pada 8 September lalu.
Menurutnya, walaupun terdapat 73 laporan polis berkaitan kes berkenaan, pihak pendakwaan memutuskan untuk mengemukakan satu pertuduhan terhadap suspek.
"Secara keseluruhan, terdapat 73 laporan polis berkaitan perkara ini dengan jumlah kerugian hampir RM1 juta.
"Bagaimanapun, selepas merujuk kepada pihak pendakwaan, keputusan dibuat untuk mengemukakan satu pertuduhan terhadap suspek," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, semua laporan polis berkenaan dibuat pada tahun lalu ketika majlis perkahwinan yang dijadualkan belum berlangsung.
Sehubungan itu katanya, laporan berkenaan dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Pihak polis sedang memproses tindakan dalaman termasuk kemungkinan dikenakan tindakan tahan kerja," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial perkongsian maklumat daripada beberapa individu dipercayai menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.
Mereka mendakwa, lelaki terbabit gagal dihubungi selepas mengambil wang daripada bakal pengantin tanpa perkhidmatan yang dijanjikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

