Dua kawasan panas kegiatan 'tonto'

Azmil (tengah) pada sidang media berkenaan, di sini, hari ini.
Azmil (tengah) pada sidang media berkenaan, di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor kenal pasti dua daerah yang merupakan kawasan panas masih berlakunya kegiatan ‘tonto’.

Timbalan Pengarahnya, Azmil Zainal Adnan berkata, kegiatan haram bagi mengawasi gerak-geri pihak berkuasa itu dikenal pasti berlaku di Batu Pahat dan Pengerang.

“Tonto ini kita kesan masih ada di Batu Pahat kerana kegiatan bauksit di sana dan Pengerang sedia maklum adalah kawasan pembangunan berskala besar.

“Buat masa ini kita dapat kesan jumlahnya tidak begitu besar, dalam 10 jentera di setiap kawasan,” katanya pada sidang media di Kompleks JPJ Johor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azmil berkata, perubahan modus operandi digunakan pihak tersebut menjadi faktor mengapa JPJ sukar untuk mengesan pergerakan dan melakukan sebarang tangkapan.

“Yang sukarkan untuk mereka ini ditangkap adalah modus operandinya sudah diubah. Kita percaya kebanyakan tonto ini sekarang bukan lagi entiti yang bergerak sendiri tetapi digajikan syarikat tertentu.

“Macam dulu, kita dapat kesan rangkaian dan sistem digunakan, sekarang cara mereka lebih kompleks, guna teknologi dan telefon pintar sahaja,” katanya,

Beliau berkata, bagi mengatasi perkara itu, pihaknya akan memperkasakan lebih banyak risikan dan penyamaran untuk mendapatkan bukti sebelum tangkapan dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kita memang lebihkan usaha risikan dan penyamaran. Untuk tahan tonto ini kita kena kerjasama dengan polis, kita tidak boleh buat jadi sebelum itu kita kumpul bukti dahulu,” katanya.