126 kematian akibat Covid-19 direkodkan, tertinggi setakat ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 126 menjadi korban baharu Covid-19 di seluruh negara sekaligus menjadikan angka tertinggi yang pernah dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 123 rakyat tempatan dan tiga warga asing.

Menurut beliau, bilangan terbahari itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini sebanyak 2,993 kes.

"Kes kematian itu melibatkan pesakit berusia 29 hingga 98 tahun yang dilaporkan di Selangor, 29 kes, Kuala Lumpur (18), Negeri Sembilan (14), Kelantan (12), Johor (11) dan Kedah (10).

"Labuan melaporkan (lapan) kes kematian, Melaka (lima), Terengganu (lima), Sarawak (empat), Pahang (tiga), Sabah (dua) Putrajaya (dua), Perak (dua) dan (satu) di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 7,703 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dengan jumlah keseluruhan kes 587,165.

"Jumlah kes aktif adalah 82,274 dan seramai 878 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Daripada jumlah itu, 441 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 5,777 disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 501,898 atau 85.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas mengenai penularan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu 2,726 kes diikuti Kuala Lumpur (701), Sarawak (588), Negeri Sembilan (586), Johor (554) dan Kelantan (541).

"Kedah (283), Sabah (254), Pahang (237), Terengganu (224), Melaka (209), Labuan (159), Perlis (tujuh) dan Putrajaya (satu)," katanya.

Katanya, KKM mengenalpasti 22 kluster baharu Covid-19 yang terdiri daripada 11 kluster tempat kerja.

"Selain itu, tujuh kluster komuniti, dua kluster pendidikan tinggi dan masing-masing satu kluster pusat tahanan dan keagamaan turut dikesan," katanya.

Tambahnya, jumlah kluster yang diisytiharkan tamat adalah 1,563 manakala 674 masih aktif.