X

Kindly register in order to view this article
!

Ada yang masih degil tak pakai pelitup muka: Polis

Sejak pandemik Covid-19 memakai pelitup muka menjadi sebahagian norma baharu dalam kehidupan harian. Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Polis Melaka kecewa dengan sikap segelintir individu di negeri ini yang masih memandang ringan pemakaian pelitup mula apabila tujuh daripada 24 kompaun yang dikeluarkan pada Selasa adalah atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata, kesalahan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana telah lebih setahun negara berdepan pandemik Covid-19 termasuk memakai pelitup muka sebagai norma baharu dalam kehidupan harian.

"Dalam tempoh 24 jam pelaksanaan 'total lockdown' semalam kita telah mengeluarkan sebanyak 24 kompaun.

"Cuma kita ralat, daripada 24 kompaun itu, tujuh kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka sedangkan telah lebih setahun penggunaan pelitup muka diwajibkan terutama di tempat awam," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, pada Rabu

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, antara kesalahan lain termasuk 10 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR) atas kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran selain 48 buah kenderaan diarahkan berpatah balik.

"Kompaun turut dikeluarkan terhadap tujuh individu yang didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah.

"Kita juga kesal apabila dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini masih ada orang ramai yang mahu merentas daerah ataupun negeri untuk melawat keluarga," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan sekarang, orang ramai perlu lebih peka dan hanya keluar apabila terdapat keperluan berbuat demikian termasuk mendapatkan bekalan barangan keperluan di kawasan berdekatan tidak melebihi jarak 10 kilometer.

"Ini penting untuk memastikan kita dapat meratakan lengkung jangkitan Covid-19 dalam tempoh dua minggu ini," katanya.

Jelasnya, sejak Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan pada Selasa lalu, bilangan kenderaan di atas jalan negeri ini juga didapati merekodkan pengurangan iaitu kira-kira 18,000 kenderaan atau 60 peratus berbanding hari biasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!