X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

42 lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit kulit kental

A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan 42 ekor lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) ketika dikuarantin di stesen kuarantin berdaftar dekat sini pada 26 April lalu.

Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, lembu berkenaan adalah sebahagian daripada 1,434 ekor yang dibawa dari Thailand dan perlu dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara.

Menurut beliau, semasa tempoh kuarantin, beberapa sampel telah diambil daripada lembu-lembu berkenaan dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV).

"Hasil ujian makmal serta tanda-tanda klinikal mendapati 42 ekor lembu positif untuk pengesanan penyakit LSD.

"LSD adalah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti lembu, kerbau dan haiwan ruminan liar tertentu," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Lily Rosalind berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah meminta Maqis untuk memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 28 hari untuk memantau lebih rapi ternakan yang diimport dari Thailand.

"Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit, dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan ruminan negara terjejas," katanya.

Menurut Lily Rosalind, kesemua lembu yang positif penyakit LSD kini dikuarantinkan dengan pemantauan rapi.

"Setakat ini, terdapat dua premis kuarantin yang dipantau oleh Maqis iaitu di Kedah dan Kelantan yang menempatkan ternakan lembu dari Thailand yang menunjukkan tanda-tanda klinikal penyakit LSD," katanya.

Mengulas lanjut, Lily Rosalind berkata, punca penyakit LSD disebabkan oleh virus Poxviridae yang disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat.

"Penyakit LSD mempengaruhi kesihatan haiwan dan boleh menjejaskan ternakan lembu dalam negara.

"LSD telah menular di Asia sejak 2019, antara negara yang terkesan dengan LSD adalah Bangladesh, India, China dan yang terbaru Thailand," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyakit kulit serang lembu, kerbau di Perak

Sehubungan itu, tegasnya, Maqis tidak akan leka atau memandang mudah penyakit ini dan komited dalam memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, mikroorganisma dan makanan diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

"Kita juga akan pastikan produk yang diimport mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!