Sila log masuk terlebih dahulu.

Mencari kerja cara dulu-dulu

Petikan dari filem Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee menggambarkan bagaimana orang dulu-dulu mencari kerja.
Petikan dari filem Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee menggambarkan bagaimana orang dulu-dulu mencari kerja.
A
A
A

SEKARANG ini jika hendak mencari kerja memang mudah. Semuanya di hujung jari. Masukkan kata kunci, misalnya jawatan yang anda hajati, kemudian minta tolong ‘Pakcik Google’ carikan.

Belum sempat mata berkelip, pakcik yang baik hati itu akan pantas memberitahu di mana kerja kosong tersebut menanti untuk diisi.

Kalau bernasib baik, yang muncul bukan setakat satu atau dua jawatan kosong, malah mungkin berpuluh, dan mungkin beratus atau lebih.

Untuk lebih spesifik, anda boleh minta tolong portal-portal rasmi yang dikhususkan untuk pencari kerja.

Antaranya Jobstreet, Mystarjobs, LinkedIn, Monster, Indeed, Jobs-station, Neuvoo, Woobjob, Maukerja, JenJobs, Partimepost, Craigslist, Careerjet, Jobselina,info jawatan kerajaan. com, Kerja Online dan ratusan lagi yang jika disenaraikan satu per satu boleh menyebabkan jari saya bengkak sebab lama sangat mengetuk papan kekunci.

Di kebanyakan portal pula, anda bukan setakat boleh mencari kerja dan membaca syarat-syarat perjawatannya, tetapi juga boleh meletakkan resume anda.

Akan ada nanti majikan atau wakilnya yang masuk ke portal itu, mencari calon-calon pekerja yang layak berdasarkan resume yang diletakkan.

Jika bernasib baik, orang itu mungkin anda. Kalau nasib tidak baik, berbelas tahun pun tiada siapa menawarkan kerja. Namun anda tidak rugi apa-apa. Masih boleh tidur lena macam biasa sebab bukannya terpaksa duduk menganga di depan pejabat sesiapa.

Artikel Berkaitan:

Demikianlah mudahnya hidup sekarang. Jika anda tidak memilih kerja, keberangkalian untuk menganggur bagi tempoh yang lama sangat tipis.

Lainlah kalau anda jenis yang dapat CGPA 1.5 jurusan sastera tapi berhajatkan jawatan juruterbang Boeing 777X, jet enjin berkembar terbesar di dunia itu. Minum setempayan air jampi dari Gunung Ledang pun belum tentu anda dipanggil untuk temuduga.

Keadaan sebenarnya sangat berbeza dengan tahun 1990-an dan sebelumnya. Waktu itu mencari kerja merupakan sesuatu yang tidak mudah, lebih-lebih lagi bagi budak kampung macam saya.

Medium mencari kerja kosong pada masa itu sangat terhad. Dalam banyak keadaan pencari kerja bergantung kepada iklan jawatan kosong yang disiarkan di media massa, terutamanya surat khabar. Dan itulah antara sebabnya kenapa surat khabar pada masa dahulu sangat laris.

Sebahagian daripada pembelinya membeli bukan kerana hendak membaca berita tetapi disebabkan hendak melihat iklan jawatan kosong.

Iklan jawatan kosong dalam surat khabar ini pun ada bentuknya tersendiri. Ada yang disiarkan penuh satu muka surat, ada yang hanya separuh atau suku muka surat.

Tidak kurang yang lebih kecil daripada itu. Biasanya iklan-iklan besar ini menyiarkan kekosongan beberapa jawatan sekali gus dan yang menyiarkannya pula adalah jabatan atau agensi kerajaan, atau mungkin juga firma-firma besar.

Sepanjang pengetahuan saya belum pernah ada kedai runcit kampung mengiklankan satu muka surat jawatan kosong pembantu kedai.

Jawatan sedemikian biasanya disiarkan dalam ‘iklan terkelas’ atau ‘classified ads’. Iklan jenis ini memang sangat popular di kalangan pencari kerja.

Ia bersifat ringkas, hanya mengandungi beberapa patah perkataan yang lengkap dengan nama jawatan, syarat kelulusan, anggaran gaji dan selepas itu alamat atau nombor telefon pengiklan untuk dihubungi.

Kandungan iklan-iklan terkelas ini selalunya rencam. Jawatan yang ditawarkan datang daripada pelbagai kategori; daripada pekerja bergaji hari, kerani, penyambut tamu sehinggalah kepada jawatan-jawatan profesional seperti akauntan, arkitek dan sebagainya.

Tetapi yang paling banyak lazimnya ialah ‘eksekutif pemasaran’, yang bunyinya hebat tetapi kerjanya terpaksa menjual barang dari individu ke individu atau dari rumah ke rumah.

Bagi yang tidak rajin membeli surat khabar atau telah putus asa mencari kerja melalui medium itu, kaedah lain yang sering digunakan oleh pengganggur angkatan saya adalah dengan merayau dari setempat ke setempat.

Melihat di mana ada tergantung iklan jawatan kosong.

Jika ada, terus ‘walk-in’, untuk bertanya lebih lanjut. Ada juga pencari kerja yang nekad. Dia akan pergi dari pejabat ke pejabat dan bertanya sendiri sama ada terdapat jawatan kosong atau pun tidak. Orang seperti ini selalunya jarang gagal dalam pencariannya.

Banyak majikan mudah tertarik kepada orang yang mempunyai daya usaha dan keyakinan seperti mereka.

Kaedah mencari kerja dengan merayau dari setempat ke setempat ini selalunya terbatas kepada golongan tertentu sahaja, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berkenaan.

Misalnya, bagi seorang yang tinggal di Shah Alam, tidak susah baginya untuk berjalan kaki merayau dari kilang ke kilang.

Tetapi bayangkan jika dia tinggal di Manjung atau Sabak Bernam. Tentulah tidak munasabah jika hari-hari berulang-alik naik bas untuk merayau mencari kerja di Shah Alam. Lainlah jika dia ada saudara-mara untuk dijadikan tempat menumpang dua tiga malam.

Bagi mereka yang tinggal jauh dari bandar-bandar utama – di mana selalunya terdapat banyak peluang pekerjaan – kaedah lain bagi memudahkan pencarian mereka adalah dengan mendaftarkan nama di agensi-agensi pekerjaan, yang pada masa itu memang terdapat di mana-mana, termasuk di bandar-bandar kecil.

Super-kayangan

Kaedahnya mudah, daftarkan nama, sertakan resume dan segala butiran lain. Selalunya sejumlah fi dikenakan.

Mungkin sekadar RM10 atau boleh jadi juga mencecah puluh-puluh ringgit. Ia sebagai yuran pendaftaran dan mengambil separuh dari gaji bulan pertama.

Kadarnya berbeza dari satu agensi ke satu agensi yang lain. Ia juga kadangkala bergantung pada jawatan yang anda pohon. Kecil jawatannya, kecil jugalah bayarannya. Begitu juga sebaliknya.

Selepas mendaftar, anda boleh balik dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Pada masa itu telefon genggam masih belum ada.

Kalau ada pun hanya untuk golongan ‘super-kayangan’. Bagi orang biasa, medium komunikasi utama hanyalah pondok telefon awam dan surat-menyurat.

Ada kawan saya, selepas mendaftar dengan sebuah agensi pekerjaan di Kelang, dia balik ke kampung dengan penuh harapan.

Mulai esoknya, dari pagi hingga ke petang, dia akan berlegar di sekitar pondok telefon awam berdekatan rumah sewa kami.

Berhari-hari begitulah rutinnya. Kalau ada orang lain menggunakan telefon itu mulalah dia gelisah.

Pada mulanya kami hairan juga kenapa gelagatnya begitu, namun setelah disoal-siasat, dia memberitahu yang dia sebenarnya menunggu panggilan dari agensi pekerjaan tersebut.

Rupa-rupanya dia mencatatkan nombor telefon awam itu sebagai nombor talian telefon rumahnya!

Ada agensi pekerjaan yang betul-betul profesional dan sentiasa menghubungi pencari kerja yang berdaftar dengan mereka untuk memberikan maklumat-maklumat terakhir berkaitan kerja yang dicari.

Tetapi ada juga yang selepas menerima pembayaran, akan terus senyap-sunyi. Yang lebih sadis pula, terus hilang ghaib. Bila kita pergi semula ke pejabatnya, pintu tingkap habis berkunci.

Dan tatkala kita menghentuk kepala ke dinding, mereka pula sibuk mengetuk paku memasang papan iklan sebuah agensi pekerjaan baharu – mungkin di bandar yang sama atau di bandar lain yang jauh dari situ.

Mungkin atas faktor itulah orang dulu-dulu sangat sayang pada pekerjaan mereka. Sekali dapat, susah hendak lepas.

Tidak seperti budak-budak sekarang, bos tegur sebab meja berabuk pun terus hantar surat letak jawatan.#dush!

Begitulah. Mencari kerja dua tiga dekad yang lalu terbukti lebih sukar daripada sekarang ini. Sudahlah tidak banyak pilihan, peluang untuk mendapatnya pun sangat terbatas.

Mungkin atas faktor itulah orang dulu-dulu sangat sayang pada pekerjaan mereka. Sekali dapat, susah hendak lepas.”

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia