Farid ceraikan Diana Danielle talak satu, melalui Google Meet

Farid (kiri) dan Diana Danielle
Farid (kiri) dan Diana Danielle
A
A
A

SUBANG BESTARI - [DIKEMAS KINI] Pelakon, Farid Kamil menceraikan isterinya, Diana Danielle talak satu, secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Khamis.

Prosiding lafaz cerai itu dibuat secara dalam talian kerana Farid tidak dapat hadir ke mahkamah ekoran masalah kesihatan akibat pasca Covid-19.

"Bahawa saya, Farid Kamil Zahari menceraikan Diana Danielle Danny Beeson dengan talak satu," kata bintang filem Anwar: The Untold Story ini.

Hakim Syarie, Shukran Yusof kemudiannya mensabitkan berlaku perceraian talak satu pada jam 3.22 petang dan memerintahkan Diana selaku plaintif menjalani tempoh edah selama tiga kali suci dan mendaftarkan perpisahan di sini selain sijil nikah mereka dibatalkan.

Sebelum ini, Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk berpisah dengan suaminya.

Permohonan cerai tersebut difailkan pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam prosiding ini, Diana hadir di mahkamah dengan peguam syarienya, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid selaku defendan yang mengikuti prosiding secara dalam talian, diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Semasa prosiding, Akberdin berkata, dalam prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh pada Khamis untuk sebutan kes untuk lantikan Hakam namun, pihak plaintif dan defendan telah mencapai persetujuan berkaitan isu ini.

Artikel Berkaitan:

Akberdin: Kami ingin memaklumkan bahawa defendan bersetuju untuk melafazkan cerai, petang ini.

Fakhrul Azman: Selepas berbincang, kedua-dua pihak telah mencapai kesefahaman dengan terma-terma perjanjian yang ditandatangani.

Hakim syarie: Saya nak dapatkan kepastian, adakah encik (Farid) bersetuju untuk lafaz talak hari ini, menerusi dalam talian?

Farid: Ya tuan, Insya-ALLAH saya setuju.

Hakim syarie: Plaintif, adakah anda setuju lafaz cerai dibuat melalui cara ini?

Diana: Ya, setuju.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid Kamil.

Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut dan pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung.

Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.