Polis laksana SJR bergerak, periksa pejabat

Mohamad Zainal (berdiri di kanan) menemubual beberapa kakitangan ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah pejabat di Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohamad Zainal (berdiri di kanan) menemubual beberapa kakitangan ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah pejabat di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Dang Wangi melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) secara bergerak bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua pasukan dikerahkan untuk melakukan SJR bergerak di sekitar daerah tersebut.

"Tiada sebarang SJR tetap didirikan disebabkan terdapat banyak laluan pilihan yang boleh digunakan.

"Namun, kita akan mengadakan SJR bergerak bergantung kepada jumlah kenderaan dan keperluan semasa," katanya ketika ditemui pemberita di SJR Jalan Ampang di sini pada Selasa.

Mohamad Zainal dan pasukannya sebelum itu melakukan pemeriksaan di pejabat sebuah agensi kerajaan di Jalan Tun Razak di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pihak pengurusan mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dengan hanya membenarkan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan bertugas di pejabat.

"Sebanyak 21 Pasukan Pematuhan dari IPD Dang Wangi akan digerakkan untuk melakukan pemeriksaan terhadap pematuhan SOP serta pejabat kerajaan dan swasta," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, pihaknya menyedari masalah berkaitan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Kita memberi sedikit kelonggaran kepada pihak terbabit dengan hanya mengemukakan surat kebenaran daripada majikan mereka bagi tempoh dua hingga tiga hari ini.

"Selepas tempoh berkenaan, pemeriksaan teliti akan dilakukan dengan mengemukakan surat kebenaran daripada MITI. Kompaun akan dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP berkenaan,” katanya.