X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Wanita tempatan antara ditahan terlibat sindiket judi

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di kondominium di Jalan Tun Razak, pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan individu termasuk enam wanita disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ditahan di kondominium di Jalan Tun Razak di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Anuar Yusoff berkata, kesemua individu yang berumur antara 21 hingga 31 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang.

"Kita telah menahan empat wanita warga tempatan, dua lelaki dan dua wanita warga China dalam serbuan di empat unit kondominium itu," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Saiful Anuar berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 17 set komputer riba, lima set monitor, tujuh set CPU, tiga set papan kekunci, sembilan unit tetikus dan 55 buah telefon bimbit pelbagai jenama.

"Kita turut merampas tiga modem, sembilan unit internal transfer, lapan keping kad pengeluaran tunai ATM, tiga keping kad sim dan satu mesin pengira wang," katanya.

Sebahagian barang-barang yang dirampas dalam serbuan di kondominium di Jalan Tun Razak, pada Isnin.
Sebahagian barang-barang yang dirampas dalam serbuan di kondominium di Jalan Tun Razak, pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian tanpa lesen serta penipuan pelaburan saham.

"Siasatan juga mendapati premis tersebut telah beroperasi sebagai pusat 'call centre' dengan bayaran sewa sebanyak RM10,000 sebulan bagi setiap unit.

"Setiap pekerja menerima upah antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan kegiatan ini juga dipercayai meraih keuntungan bulanan sekitar RM300,000," katanya.

Saiful Anuar berkata, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan perjudian dalam talian dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

"Kita memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja, pemain atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan perjudian secara total di Kuala Lumpur," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!