Kritik Sultan Johor: Ibu Neelofa selesai beri keterangan

Noor Kartini ketika membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada Ahad.
Noor Kartini ketika membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis Selangor telah mengambil keterangan ibu seorang selebriti popular, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed pada Selasa berhubung dakwaan mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, Noor Kartini selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 10 pagi dan pihaknya akan memanggil beberapa lagi saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Ibu selebriti itu sudah selesai memberi keterangan dan siasatan akan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi lain selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan kes itu sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur, namun kemudian diserah kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung satu paparan di akaun Instagram milik ibu seorang selebriti popular yang didakwa mengkritik Sultan Ibrahim.

Hasil siasatan mendapati seorang wanita berumur 32 tahun mengaku telah tersilap menggunakan Instagram ibu selebriti berkenaan dengan membuat kapsyen berbentuk kritikan di Instastory akaun Instagram itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat status Instagram Noor Kartini

Artikel Berkaitan: