X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Kerajaan umum Pemerkasa Tambahan RM40 bilion

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang disiarkan secara langsung malam ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 bilion bagi membantu meredakan cabaran yang dihadapi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Pemerkasa Tambahan itu melibatkan suntikan langsung fiskal daripada kerajaan sebanyak RM5 bilion.

"Terdapat tiga matlamat utama bagi program tersebut iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan," katanya ketika berucap pada Perutusan Khas Bantuan PKP 3.0 pada Isnin.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, selain daripada kesemua inisiatif yang diumumkan dalam Pemerkasa Tambahan itu, terdapat program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan.

Jelasnya, dari segi perbelanjaan langsung daripada kerajaan, Kumpulan Wang Covid-19 telah diluluskan dengan siling RM65 bilion.

“Sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April 2021, RM10 bilion lagi telah disalurkan. Baki sebanyak RM17 bilion akan dibelanjakan pada tempoh yang terdekat,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, antara inisiatif dan program yang masih berjalan adalah Bantuan Prihatin (BPR) Fasa Dua dan Program Subsidi Upah, insentif penggajian serta program latihan untuk membantu menjamin pekerjaan sedia ada.

Selain itu, beliau berkata, turut sedang dilaksanakan adalah projek-projek kecil dengan peruntukan lebih RM2 bilion untuk dibelanjakan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam.

“Selain itu, Program Jaringan Prihatin bernilai RM2 bilion yang juga dilancarkan pada awal Mei lalu bagi membantu 8.4 juta penerima BPR untuk melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan peranti telefon mudah alih juga sedang dijalankan.

“Turut akan dijalankan adalah Program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran mulai esok (Selasa), 1 Jun 2021 bagi membolehkan dua juta belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak untuk mendapatkan kredit bernilai RM150 dari penyedia perkhidmatan e-tunai,” katanya,


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!