X

Kindly register in order to view this article
!

Harussani tak sempat terima suntikan dos kedua

Ahmad Wafi bersama kakaknya, Naelah, 47, ketika ditemui media di kediamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat pada Isnin. (Gambar kecil: Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria)
A
A

IPOH - Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Ahad tidak sempat menerima suntikan dos kedua vaksin.

Anak bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 44, berkata, Mufti Perak itu sepatutnya menerima suntikan berkenaan pada Khamis lepas.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan kesihatan Allahyarham yang semakin merosot dan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh menyebabkannya tidak dapat mengambil suntikan pada tarikh ditetapkan.

"Pada Rabu iaitu seminggu sebelum raya lepas (5 Mei), abah dan mak sudah menerima suntikan pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB dan janji temu kedua sepatutnya pada 27 Mei lepas.

"Dengan keadaan abah ketika itu, dia memang tak dapat nak ambil suntikan kedua, mak pula baru pulih dari rawatan sebagai pesakit Covid-19, jadi kalau ikutkan kena tunggu tarikh janji temu baru," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pada Isnin.

Allahyarham Harussani, 82, dan isteri, Puan Sri Ainon Abdul Ghani, 81, telah menerima rawatan sebagai pesakit Covid-19 di HRPB selepas disahkan positif wabak itu pada 11 Mei lalu.

Kira-kira seminggu selepas menerima rawatan, kondisi kesihatan Allahyarham Harussani sedikit merosot sebelum dimasukkan ke ICU untuk rawatan lanjut sementara isterinya yang pulih dibenarkan keluar hospital.

ARTIKEL BERKAITAN Mufti Perak meninggal dunia

Harussani disegani rakyat, disenangi jiran

Ahmad Wafi berkata, antara simptom dialami Allahyarham termasuk mengalami jangkitan paru-paru, buah pinggang dan jantung.

Katanya, keadaan Allahyarham pada awalnya baik, banyak masa berehat dan tidur tetapi masih dalam keadaan sedar, hanya apabila kesihatannya semakin merosot, barulah diberikan bantuan pernafasan.

"Dalam tempoh seminggu ini, keadaan abah selalu on-off, pihak ICU cuba sedaya upaya memberikan rawatan terbaik untuk menstabilkan keadaannya.

"Tetapi petang semalam (Ahad) doktor maklumkan kesihatan abah semakin merosot dan ketika itu pasukan perubatan telah cuba lakukan ikhtiar terakhir untuk lihat keadaannya.

"Kami faham keadaan itu dan saya beritahu pada mak untuk terima apa juga ketentuan yang berlaku, kami dah reda, hanya mohon pada ALLAH supaya dipermudahkan urusannya.

"Alhamdulillah walaupun cuaca gelap dan hujan semalam, proses pengebumian abah berjalan lancar, hujan berhenti ketika abah disimpan dalam liang lahad, hanya bila selesai barulah hujan kembali," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga menerima saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar urusan pengebumian Allahyarham dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pesakit Covid-19.

Menurutnya, meskipun Allahyarham telah menerima rawatan selama 21 hari, ujian calitan kedua dijalankan semalam masih menunjukkan positif Covid-19.

"Kami mengharapkan keputusan itu negatif agar jenazah boleh diuruskan di rumah, tetapi tidak...Terkilan juga sebab harapan saya untuk sama-sama uruskan dan sembahyangkan jenazah abah," katanya.

Ahmad Wafi memberitahu, lebih 10 ahli keluarga mereka kalangan anak termasuk dirinya, menantu dan cucu Allahyarham telah disahkan positif Covid-19, namun sudah selesai menjalani tempoh kuarantin.

"Ada yang bertanya kepada saya bagaimana Tan Sri boleh dijangkiti Covid-19, saya sendiri tidak tahu jawapannya kerana kalau diikutkan abah langsung tak keluar rumah, keluar pada hari terima vaksin di hospital sahaja," katanya.

Allahyarham Harussani meninggal dunia di ICU HRPB pada jam 2.45 petang pada Ahad.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!