MDHS kesan individu buang sampah haram

Foto yang berjaya dirakam oleh orang awam memaparkan tindakan dua individu membuang sampah haram di sekitar kawasan Dataran Bukit Sentosa.
Foto yang berjaya dirakam oleh orang awam memaparkan tindakan dua individu membuang sampah haram di sekitar kawasan Dataran Bukit Sentosa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sedang giat mengesan beberapa individu yang didapati terlibat dengan kegiatan pembuangan sampah haram di sekitar Dataran Bukit Sentosa, di sini.

Yang Dipertuanya, Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut membabitkan beberapa keping foto dan rakaman bukti video aktiviti tersebut yang dirakam oleh orang awam.

Mohd Azhar berkata, sifat tidak bertanggungjawab pihak terlibat telah menyebabkan kebersihan di daerah ini khususnya kawasan komersil sukar untuk dikekalkan walaupun kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan dilaksanakan setiap hari.

"Tindakan tidak bertanggungjawab membuang sampah daripada kenderaan juga seringkali menimbulkan masalah bau dan mencacatkan pemandangan sehingga mendapat aduan penduduk sekitar," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata, MDHS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang dikesan terlibat dengan kegiatan ini.

Menurutnya, orang ramai diseru untuk terus bekerjasama dengan MDHS bagi menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan diambil berhubung isu ini.

"Mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelulusan Sampah Sarap (MDHS) 2007, tidak ada mana-mana pihak dibenarkan membuang sampah di tempat awam dan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh setahun atau keduanya sekali.

"Malah, kesalahan ini juga boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM1,000," katanya.

Artikel Berkaitan: