Kerajaan perlu peka keperluan asas rakyat B40, M40

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu peka perihal keperluan asas demi kelangsungan kehidupan rakyat berikutan pelaksanaan 'total lockdown' fasa pertama pada 1 hingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu memberi penekanan manfaat kepada semua golongan terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan pertengahan (M40).

Menurutnya, Pemuda PN turut mencadangkan beberapa contoh bantuan yang boleh diberikan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.

"Antaranya Skim Bantuan Bersasar B40 dan M40, moratorium automatik tanpa caj faedah selama dua bulan, subsidi upah pekerja dan suntikan tunai buat pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Selain itu, rakyat juga disarankan agar tidak berbelanja dengan boros selain berjimat cermat untuk bertahan sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Pemuda PN menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil pertimbangan pelbagai sudut lebih-lebih lagi apabila jumlah kadar jangkitan kes harian Covid-19 di seluruh negara melonjak melebihi 9,000 kes sekali gus menjadikan jumlah kes aktif menjangkaui 70,000.

"Justeru, pelaksanaan 'total lockdown' ini dilihat bertepatan apabila semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan juga perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan diselaraskan penyenaraiannya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu katanya, Pemuda PN menggesa agar semua pihak dapat bekerjasama sepenuh hati dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga kebersihan sendiri dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Kita mesti bangkit dan jangan berputus asa mendepani cabaran ini hingga berjaya. Jika tidak, negara akan berdepan pula dengan krisis ekonomi yang bakal berlaku disebabkan 'total lockdown'," ujar beliau.