JKKP keluar empat notis kes pekerja maut disambar petir

Info grafik kes kemalangan maut seorang pekerja syarikat pembinaan akibat disambar petir yang dikongsikan JKKP Johor di Facebook rasmi agensi itu pada Ahad.
Info grafik kes kemalangan maut seorang pekerja syarikat pembinaan akibat disambar petir yang dikongsikan JKKP Johor di Facebook rasmi agensi itu pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat notis dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor terhadap sebuah syarikat pembinaan berikutan seorang pekerjanya maut disambar petir di tapak pembinaan di Taman Industri Jaya, Skudai di sini pada Jumaat.

Pengarah JKKP Johor, Ir Mohd Rosdee Yaacob berkata, kejadian berlaku jam 3.45 petang semasa seorang pekerja warganegara Bangladesh berusia 39 tahun sedang melakukan kerja-kerja menuang konkrit menggunakan kaedah 'bucket transfer' dan kren berantai.

"Siasatan awal mendapati cuaca ketika itu mendung sebelum berlaku dentuman kuat semasa mangsa sedang melakukan kerja.

"Mandur dan rakan sekerja mangsa mengesahkan kren berantai yang sedang digunakan itu disambar petir, manakala mangsa rebah di lokasi berhampiran dengan kesan koyakan pada baju dan seluar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada jam 4.40 petang.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan dua notis larangan mengarahkan majikan mengambil tindakan serta-merta bagi mengadakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif dan Kawalan Risiko dan Prosedur Kerja Selamat (SOP) bagi kerja-kerja penuangan konkrit.

"Dua lagi notis dikeluarkan ialah notis pembaikan untuk majikan mengemukakan laporan siasatan dalaman kejadian dan laporan lengkap berkaitan peranti keselamatan yang dipasang pada kren berantai tersebut," katanya.

Tegasnya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel Berkaitan: