Jalani saringan jika ada gejala Covid-19: Rapid KL

Penumpang yang menaiki tren LRT dan MRT pada 27 dan 28 Mei lalu diminta membuat saringan kesihatan di pusat kesihatan terdekat jika terdapat gejala berkaitan Covid-19. - Gambar hiasan
Penumpang yang menaiki tren LRT dan MRT pada 27 dan 28 Mei lalu diminta membuat saringan kesihatan di pusat kesihatan terdekat jika terdapat gejala berkaitan Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rapid KL menyarankan penumpang yang menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang dari Wangsa Maju pada pagi Jumaat menjalani saringan kesihatan jika terdapat gejala Covid-19.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, langkah sama juga disarankan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan LRT dari Taman Melati dan KLCC pada waktu puncak pagi Khamis lalu.

Saranan itu berikutan terdapat penumpang yang mengesahkan dijangkiti Covid-19 seperti dikongsi melalui akaun Twitter.

"Penumpang bernama Claudia Nuriman membuat 'posting' dalam akaun Twitter @claudianuriman memaklumkan beliau menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni dan seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi.

"Pemilik akaun @asyxxi turut memberitahu beliau positif Covid-19 dan menasihati penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC pagi Khamis lalu menjalani ujian saringan. Perjalanan beliau antara 8 pagi hingga 9 pagi," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, Rapid KL mengalu-alukan sikap terbuka kedua-dua penumpang berkenaan.

Pada masa sama Rapid KL meminta penumpang mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka berganda (double face mask).

"Penumpang turut dinasihatkan sentiasa berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 seperti mengurangkan bercakap, mengelakkan bersentuhan walaupun antara rakan dan anggota keluarga serta jaga penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan penumpang lain dalam risiko," katanya.

Jelasnya, semua tren Rapid KL disanitasi setiap malam bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang.