Kedah sokong penuh ‘total lockdown’

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyokong penuh langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan ‘total lockdown’ bagi seluruh negara bermula 1 Jun ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan tidak ada pilihan selain langkah tersebut dilaksanakan susulan peningkatan kes baharu Covid-19 yang begitu membimbangkan.

"Segeralah mendaftar untuk vaksinasi dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan bersungguh-sungguh untuk keselamatan kita semua," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP penuh di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Menurut satu kenyataan, Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh perdana menteri telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’.

Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.

Krisis Covid-19 semakin buruk apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 8,290 kes positif direkodkan pada Jumaat.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi selama empat hari berturut-turut bermula Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 549,514.

Menurutnya, semua negeri dan wilayah merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan Selangor kekal negeri tertinggi iaitu 2,052 kes.