NGO perlu bantu kerajaan sebar kebaikan vaksinasi Covid-19

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU – Badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu mengambil inisiatif membantu kerajaan merancakkan lagi pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, langkah tersebut sangat penting bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, tidak semua masyarakat tahu dan faham kenapa vaksinasi diperlukan untuk mencegah penularan Covid-19 dan ia menjadi salah satu tanggungjawab NGO untuk membantu kerajaan memberi kesedaran berkenaan.

"Pelbagai cara boleh kita lakukan. Kebanyakan NGO turun padang membantu orang-orang kampung terutamanya golongan warga emas untuk daftar dan hantar mereka ke lokasi vaksinasi.

"Selain itu, NGO-NGO yang ada di setiap negeri seharusnya memastikan semua ahli-ahli yang berada di bawah mereka bersedia untuk menerima vaksin masing-masing.

“Tidak keterlaluan jika NGO mewajibkan ahli-ahli mereka divaksin. Dengan langkah-langkah seperti ini, ia akan membantu kerajaan memastikan semua rakyat mendaftar dan hadir untuk janji temu yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, memang ‘lockdown’ antara salah satu cara memutuskan rantaian pandemik tersebut, namun ia perlu disertakan dengan pelbagai inisiatif tambahan untuk membantu rakyat terutamanya kumpulan peniaga.

“Jangan selesa, jangan tidur. Bangunlah untuk bantu negara kita, bangkit sebelum kita menyesal. Jangan serah semuanya pada kerajaan, ambil tanggungjawab tersebut pada diri sendiri sebab apa yang kerajaan lakukan ketika ini pun adalah untuk kita.

Artikel Berkaitan:

“Ambil vaksin masing-masing, duduk di rumah, bekerja di rumah. Bersabarlah untuk sekali lagi, sebelum ini kita sudah berjaya.

“Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat tidak mudah mengalah, maka inilah masanya kita berganding bahu, sabar dan patuh pada semua arahan. Insya-ALLAH semuanya akan selamat,” katanya.