Lebih 400,000 sokong Jepun batalkan Olimpik Tokyo

Lebih 400,000 orang telah menandatangani pungutan suara untuk membatalkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo akan datang berikutan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
Lebih 400,000 orang telah menandatangani pungutan suara untuk membatalkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo akan datang berikutan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Lebih 400,000 orang telah menandatangani pungutan suara untuk membatalkan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo akan datang berikutan pandemik Covid-19, lapor Sputnik.

Pungutan suara itu dilancarkan pada 5 Mei oleh peguam dan ahli politik terkenal Kenji Utsunomiya. Ia ditujukan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach; Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Menteri Hal Ehwal Olimpik, Tamayo Marukawa; Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik Tokyo, Seiko Hashimoto dan Gabenor Tokyo Yuriko Koike.

Menurut undian itu, organisasi yang berkaitan 'kini secara paksa mendorong agar Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo diteruskan,' sementara Tokyo dan wilayah lain, serta semua negara di seluruh dunia sedang berusaha untuk membendung penyebaran virus itu.

"Sukan Olimpik Tokyo tidak akan berlangsung tanpa bantuan daripada pekerja kesihatan, institusi perubatan, dan sumber perubatan yang tidak terkira banyaknya.

Bagaimanapun, profesional perubatan telah memberitahu, orang ramai tidak ada ruang untuk tuntutan perubatan yang lebih banyak...penganjuran Olimpik berkemungkinan tinggi akan menjadi penyebar paling besar dan memburukkan lagi keadaan yang sedang kita hadapi," menurut undian itu.

Beberapa undian di Jepun menunjukkan kebanyakan orang mahu Olimpik dibatalkan. Sebagai tambahan, surat khabar Jepun Asahi Shimbun, rakan rasmi temasya itu, pada Rabu meminta Perdana Menteri membatalkan acara itu dengan alasan ancaman berkaitan dengan pandemik terhadap keselamatan awam dan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan negara itu.

Pada Khamis, sebahagian besar wilayah Jepun yang menjadi tuan rumah Olimpik, termasuk Tokyo, berada dalam keadaan darurat kerana lonjakan jangkitan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: