Arak guna setem cukai kastam palsu RM1.3 juta dirampas

Rozasin (dua, kiri) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas bernilai RM1.3 juta kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, pada khamis.
Rozasin (dua, kiri) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas bernilai RM1.3 juta kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, pada khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri melumpuhkan satu sindiket penjualan arak menggunakan setem cukai kastam yang dipercayai palsu, melibatkan rampasan bernilai RM1.3 juta di Taman Bandar Cahaya Baru, Yong Peng, dekat sini pada 25 Mei lepas.

Pegawai Pemerintah Superintendan Rozasin Ramlan berkata, ia adalah hasil serbuan ke atas sebuah stor simpanan syarikat menjual arak pada 10.15 pagi selepas pihaknya membuat risikan selama dua minggu.

“Melalui serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, di sini pada Khamis.

Menurut Rozasin, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar arak terbabit di daerah ini dan kawasan sekitar.

"Kita sedang memburu ahli sindiket yang masih bebas dan kes disiasat menurut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Rozasin berkata, bagi tempoh Januari hingga 26 Mei tahun ini, pihaknya melakukan 10 serbuan berkaitan cubaan menyeludup rokok, arak, dadah, mercun dan kenderaan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, melibatkan keseluruhan rampasan bernilai RM4.6 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: