Segera lantik pengurus Spurs

Sebahagian pemain Spurs meraikan jaringan. Foto : gettyimages
Sebahagian pemain Spurs meraikan jaringan. Foto : gettyimages
A
A
A

BEKAS bintang Tottenham Hotspur Gary Mabbutt menyifatkan kelab berkenaan perlu segera membuat keputusan berhubung pelantikan pengurus baharu pasukan berkenaan.

Menurut Mabbutt, kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan skuad The Lilywhites itu terus ketinggalan di belakang pencabar-pencabar lain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelak.

Apa pun, Mabbutt yang telah melakukan lebih 600 penampilan dengan memenangi Piala FC, Piala UEFA selama beraksi dengan The Lilywhites, yakin keputusan berhubung perkara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Keputusan berhubung pelantikan pengurus baharu ini perlu dibuat segera dalam usaha memudahkan lagi pelbagai urusan berkaitan kelab berkenaan, tambahan pula menjelang saingan musim baharu Liga Inggeris (EPL), tidak lama lagi.

“Bagi saya, kalau keputusan ini dapat dibuat dengan segera, ia adalah lebih baik dan saya yakin setakat ini sudah lebih 20 nama calon-calon yang dikatakan sesuai untuk mengendalikan kelab ini telah dikemukakan.

“Namun, pengerusi kelab, Daniel Levy menegaskan bahawa pengurus baharu kelab ini perlu memiliki DNA bersama kelab kerana ia (DNA) dilihat sebagai antara perkara paling penting dan mahu dikekalkan di kelab ini pada masa hadapan,” katanya.

Musim lalu, Spurs sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada kedudukan ketujuh di bawah kendalian pengurus interim, Ryan Mason setelah pihak kelab membuat keputusan memecat Jose Mourinho April lalu.

Pemecatan Mourinho dibuat hanya beberapa hari sebelum aksi final Piala Liga berdepan Manchester City yang menyaksikan City menang 1-0.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu seorang lagi bekas bintang Spurs, Ossie Arideles yakin Levy akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan individu paling sesuai untuk mengemudi Spurs musim depan.

“Biarpun agak sukar, namun saya yakin Levy akan dapat mencari pengganti yang sesuai kerana kelab ini memerlukan pengurus untuk terus maju.

“Lagi pun pada perlawanan terakhir EPL musim ini dengan Leicester City anda semua dapat menyaksikan bahawa Spurs memiliki pemain yang hebat apabila menang 4-2 ke atas skuad The Foxes itu,” katanya.