BN, PH perlu segera selesaikan pembahagian kerusi - Veteran UMNO

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menggesa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, masa bagi kedua parti tersebut semakin suntuk dan sepatutnya sekarang mereka sudah memasuki fasa untuk menyusun strategi bagi meraih kemenangan.

“Jangan berebut bilangan kawasan, yang penting bertanding untuk menang. Kita berebut kemenangan dengan Perikatan Nasional (PN) dan formula menang-menang mesti diutamakan, biar sedikit tapi pasti menang.

“Kedua-dua pihak iaitu BN dan PH kena saling bantu membantu untuk menang dimana, pengundi BN undi calon PH dan pengundi PH undi calon BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kepimpinan BN dan PH negeri perlu mengenepikan cerita lama kerana sekarang mereka sudah bekerjasama.

“Kita sekarang berkawan. Kawan kena tolong kawan. Jangan tikam belakang.

“Kita bukan lagi lawan dan bermusuhan dan ini hakikat kita kena terima kalau kita mahu menang,” ujar beliau.

Jelasnya, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri akan dibubar akhir bulan ini untuk memberi laluan kepada PRN yang dijangka akan diadakan pada akhir Julai atau pertengahan Ogos.