Covid-19: 40,000 penduduk Selangor jalani saringan percuma

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir 40,000 penduduk di Selangor dilaporkan telah menjalani proses saringan percuma yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor sejak 8 Mei lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi saringan percuma itu, kerajaan negeri berusaha untuk mengawal penularan wabak berkenaan dengan sebaiknya sementara proses vaksinasi dipercepatkan.

Beliau berkata, berikutan itu, kerajaan Selangor turut berusaha melaksanakan Program Outreach Imunisasi Covid- 19 Selangor (Imunisel) dan mendapatkan bekalan vaksin menerusi SeLangkah Vax sejak tahun lalu sebagai pelengkap kepada inisiatif vaksinasi kerajaan Persekutuan.

"Imunisel dirangka bagi membantu warga yang tidak mempunyai akses kepada peranti serta perkhidmatan internet untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin.

"Justeru, saya menyeru anda semua terutama anak-anak yang mempunyai akses teknologi dan maklumat untuk memanfaatkan dan mendaftarkan diri serta ibu bapa sebagai penerima vaksin ini," katanya menerusi Perutusan Sambutan Hari Wesak 2021, pada Rabu.

Kerajaan Selangor menjalankan program saringan percuma Covid-19 melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini secara aktif bermula 8 Mei sehingga 10 Jun ini.

Program itu menyasarkan saringan buat individu berisiko, kontak rapat, bergejala dan pihak yang bimbangkan kesihatan mereka.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sambutan Hari Wesak pada tahun ini hanya dapat diraikan secara sederhana berikutan aktiviti rumah ibadat masih ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun Hari Wesak tidak disambut di kuil seperti kebiasaan namun saya berharap kita menggunakan peluang ini untuk bersama-sama keluarga," katanya.