X

Kindly register in order to view this article
!

26 warga Indonesia ditahan menyelinap masuk secara haram

Antara PATI yang ditahan dalam Ops Benteng di persisiran pantai Sungai Janggut Kapar, Klang pada Selasa.
A
A

KLANG – Seramai 26 individu termasuk lima wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan kerana menyelinap masuk secara haram melalui persisiran pantai Sungai Janggut Kapar, di sini pada Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya bersama Polis Gerakan Am Batalion 4 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan kesemua individu berusia 17 hingga 53 tahun itu dalam Ops Benteng.

"Kita menerima laporan daripada orang awam mengenai pendaratan PATI berkenaan, sebelum meninjau lokasi di sekitar perairan tersebut," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohammad Rosli berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut mengatur operasi darat bagi menahan kesemua PATI tersebut.

"Kita mendapati PATI berkenaan bersembunyi di semak berhampiran lokasi pendaratan bagi mengelak daripada dikesan oleh penduduk kampung dan pasukan operasi," katanya.

Menurutnya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama dengan penduduk kampung Sungai Janggut.

"Berdasarkan pemerhatian dan pengesanan di lokasi, kumpulan PATI ini dipercayai memasuki perairan Malaysia menggunakan bot dari Indonesia, sebelum bot itu berpatah balik setelah mendaratkan PATI," katanya.

Beliau berkata, aset Maritim yang berada di perairan Selangor telah diarahkan untuk mengesan bot yang dipercayai terlibat di dalam aktiviti tersebut.

"Kesemua PATI itu telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mohammad Rosli menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau National Task Force (NTF) di talian 011-62511223 yang beroperasi secara 24 jam agar tindakan segera dapat diambil," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!