MTUC sokong tetapi jangan sampai potong gaji pekerja

Mohd Effendy Abdul Ghani
Mohd Effendy Abdul Ghani
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong cadangan syarikat besar mengambil inisiatif melakukan sendiri pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, bagaimanapun pemberian vaksin itu tidak perlu membebankan pekerja melalui pemotongan gaji atau paksaan.

Beliau berkata, sebelum ini, beberapa syarikat swasta khususnya majikan mencadangkan untuk membenarkan hospital swasta mendapatkan vaksin Covid-19 untuk pekerja.

“Kami bimbang akan berlaku penindasan oleh sesetengah majikan yang mungkin akan memaksa atau berlaku penolakan gaji,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tegas Mohd Effendy, pihaknya juga berharap sekiranya cadangan tersebut diterima, dia berharap tidak akan ada isu yang berbangkit terutamanya dalam kalangan pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Satu lagi kerisauan kami, jika cadangan itu diterima, kami khuatir PKS yang ketika ini agak terkesan mungkin tidak mampu untuk mengikut langkah syarikat besar membiayai pekerja mereka dalam pemberian vaksin,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat memberi keutamaan kepada individu yang terlibat dalam sektor ekonomi dimasukkan ke dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata lagi, dengan cara tersebut ia juga mampu mengelakkan isu berbangkit di antara majikan dan pekerja seterusnya dapat membantu memulihkan ekonomi yang kini terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: