Wirdati dilantik ahli lembaga eksekutif ASTAF

Wirdati
Wirdati
A
A
A

PERASAAN teruja menyelubungi bekas Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi yang dilantik sebagai Naib Pengerusi Panel Penasihat Undang-undang dan Tadbir Urus Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) baru-baru ini.

Wirdati, 49, berkata, pelantikan itu adalah satu penghargaan kepadanya dan menganggap ini sebagai penghormatan daripada ASTAF kepada Malaysia, apabila wakil dari negara ini diterima sebagai ahli lembaga eksekutifnya.

“Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader sentiasa mencari peluang untuk dapatkan ahli yang berkualiti dalam persatuan di peringkat antarabangsa, dan beliau dah bercakap tentang perkara ini sejak dua atau tiga tahun lepas,” katanya pada Selasa.

Wirdati yang mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan sukan, akan terlibat dalam beberapa proses mengkaji semula perlembagaan dan tadbir urus sukan yang lebih menumpukan kepada program pendidikan untuk ahli ASTAF dari segi tadbir urus sukan antarabangsa.

ASTAF akan mengadakan kursus kepada negara-negara ahli mengenai pengurusan dan urus tadbir sukan mengenai peraturan dan undang-undang dalam sepak takraw, kerana ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sedang berusaha supaya sepak takraw diiktiraf sebagai Sukan Olimpik.

“Untuk ke arah itu, kita kena pastikan bahawa anggota daripada negara-negara ahli mempunyai pengurusan dan urus tadbir di tahap yang tinggi sebelum kita boleh diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa,” kata Pensyarah Kanan Pusat Sukan dan Sains Eksersais Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, bekas presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF bermula 2 Mei 2021 hingga 2023.

Beliau yang sedang mengkaji kod etika ASTAF berkata masih mempunyai banyak ruang penambahbaikan dalam memastikan imej ASTAF sebagai sebuah organisasi sukan antarabangsa diangkat setaraf dengan persatuan-persatuan sukan Olimpik yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan ASTAF dan ISTAF sedang berjuang untuk bawa sepak takraw ke Olimpik, adalah sangat penting untuk ASTAF mempunyai garis panduan etika dan tadbir urus yang baik dalam mendokong usaha tersebut,” katanya. - Bernama