Kerajaan tak akan bertolak ansur soal rasuah, tadbir urus - PM

Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama
A
A
A

VIENTIANE - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam soal tadbir urus dan rasuah dalam pentadbirannya.

Beliau berkata, adalah menjadi komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memulakan budaya baharu yang bebas salah guna kuasa dan rasuah.

"Perkara yang tidak boleh dikompromi ialah budaya menggunakan kedudukan sebagai penjawat awam (untuk mengayakan diri dan keluarga anda).

"Sebaik sahaja anda menjadi Perdana Menteri, isteri, anak-anak dan ipar-duai tiba-tiba menjadi jutawan. Ini perlu dihentikan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Laos di Kedutaan Malaysia pada Selasa.

Majlis tersebut, yang diadakan sempena lawatan rasmi Anwar ke Laos, dihadiri kira-kira 230 komuniti Malaysia di negara itu.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud.

Anwar juga berkata, kerajaan pimpinan beliau akan memudah cara dan sedia menjalin kerjasama untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia termasuk ke negeri pembangkang.

Merujuk kepada perjanjian kerjasama antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan Thanaleng Dry Port yang ditandatangani pada Selasa, Perdana Menteri berkata, ia penting untuk pembangunan Perlis serta selatan Thailand.

"Walaupun Perlis di bawah Pas, saya tetap bagi sokongan," katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut merasmikan bangunan Kedutaan Malaysia di Laos yang telah dibeli oleh kerajaan sejak 2016. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!