Dua sahabat mengaku baling mercun bola ke arah polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua sahabat termasuk seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa kerana menakutkan anggota polis yang sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan cara membakar dan membaling tiga biji mercun bola terhadap mangsa minggu lalu.

Pelayan restoran Muhammad Amirul Syafiq Yasin, 21, dan rakannya itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Konstabel Mohd Aliffnajmi Kassim dan 11 lagi petugas SJR Mobile Ops Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Balai Polis Gombak di Jalan Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak, pada jam 10.30 malam, 18 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Hafizah Rajuni kemudiannya membenarkan kedua-dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan mereka pesalah muda dan juvana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). - Bernama

Artikel Berkaitan: