Covid-19: Muda Pahang usul enam cadangan

Ahmad Zarul
Ahmad Zarul
A
A
A

KUANTAN - Parti Muda Pahang mencadangkan kerajaan negeri Pahang melakukan saringan Covid-19 secara besar-besaran kepada seluruh warga Kuantan bagi mengesan lebih ramai individu dijangkiti dan mengekang penularan wabak itu di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pro-Tem Parti Muda Pahang, M Malani dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif parti itu Ahmad Zarul Afiq Arifudin dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama pihak hospital dan klinik swasta dialu-alukan bagi menjayakan inisiatif saringan Covid-19 itu.

Kenyataan itu menyebut, parti berkenaan turut mendesak kerajaan negeri mewujudkan tabung pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan rakyat.

"Kerajaan juga perlu menyegerakan agihan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas di kawasan luar bandar termasuk golongan marginal dan migran.

"Kita desak ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) dan agensi kerajaan berkaitan menggembleng usaha bagi menjayakan inisiatif ini," katanya kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan berkenaan bantuan kewangan yang sewajarnya perlu diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas dalam tempoh PKP dan PKPD.

"Bantuan seperti penangguhan bayaran sewa premis di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) juga wajar dipertimbangkan bagi meringankan beban ditanggung golongan itu.

"Dalam menangani isu kekeluargaan dan kesihatan mental rakyat, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mewujudkan pusat perlindungan dan kaunseling kepada kanak-kanak dan wanita," kata kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pelaksanaan PKP dan PKPD bermakna aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung secara dalam talian.

"Justeru, kita minta kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan peralatan Pengajaran dan Pengajaran Di Rumah (PdPR) sama ada komputer riba atau tablet selain menyediakan pakej internet kepada pelajar yang memerlukan,"katanya.

Parti Muda Pahang dalam kenyataan sama menyokong penuh saranan Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang meminta rakyat negara ini melaksanakan kawalan pergerakan kendiri bagi mengelak penularan pandemik Covid-19 menjadi semakin buruk. Untuk rekod, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM7.8 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) secara bersasar kepada rakyat negeri ini yang terkesan ekoran pelaksanaan PKP dan PKPD.

Bantuan bentuk wang tunai dan barangan keperluan itu dijangka diagihkan dalam masa terdekat melibatkan beberapa golongan penerima.

Antara golongan yang akan menerima manfaat ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi dan kes-kes Covid-19 aktif termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah.

Turut disenarai menerima bantuan ialah golongan gelandangan, miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas.