Tempoh kuarantin pengembara dilanjutkan

Rakyat Malaysia yang tiba di negara ini dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan perlu jalani kuarantin wajib 21 hari.
Rakyat Malaysia yang tiba di negara ini dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan perlu jalani kuarantin wajib 21 hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang tiba di Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari berkuatkuasa serta merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia.

Menurutnya, keputusan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin wajib itu mengambil kira situasi Covid-19 di dunia ketika ini apabila lebih daripada 50 peratus negara melaporkan penularan 'Variant of Concern' (VOC) dalam komuniti.

Katanya, pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India turut dikekalkan.

"Tempoh kuarantin wajib dari semua negara lain dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

"Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke-14.

"Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri menjelaskan, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, semua pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa.

Katanya, bagi ujian ulangan RT-PCR Covid-19, ia perlu dilakukan pada hari ke10 dan sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR tersebut dibuat pada hari ke-18.

"Pelaksanaan ini berkuat kuasa serta-merta," kata beliau.