Tiga warga Thailand ditahan

Mior Faridalthrash. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung kekecohan berlaku di pintu sempadan negara yang disiarkan Isnin lalu.
Mior Faridalthrash. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung kekecohan berlaku di pintu sempadan negara yang disiarkan Isnin lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga warga Thailand disyaki mencetuskan kekecohan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Ahad lepas dengan menutup pintu pagar di sempadan Malaysia ditahan kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, polis menahan tiga suspek berusia 27 hingga 50 tahun ditahan kira-kira jam 11.55 pagi di ICQS Bukit Kayu Hitam, dekat sini.

Menurutnya, tiga suspek disyaki terlibat dalam insiden tutup pagar sempadan Malaysia didapati cuba masuk ke negara ini menggunakan pasport sah sebelum ditahan selepas dikenal pasti.

"Kita menahan suspek berikutan laporan polis dibuat Pegawai Imigresen di ICQS Bukit Kayu Hitam berkaitan penutupan pintu pagar sempadan Malaysia oleh sekumpulan lelaki disyaki warga Thailand.

"Manakala, satu laporan polis lagi dibuat anggota polis bertugas di ICQS sama kerana menerima viral peti suara melalui aplikasi WhatApp yang berbaur tomahan dan ugutan," katanya.

Menurut Mior Faridalthrash, kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dan Seksyen 507 kanun yang sama kerana ugutan jenayah melalui media.

Katanya, tiga suspek direman selama empat hari bermula 20 sehingga 24 Februari bagi membantu siasatan kes penutupan pagar sempadan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekecohan selama 15 minit berlaku apabila pintu pagar sempadan ditutup sebagai tanda protes atas tindakan penguatkuasaan ketat pihak berkuasa Malaysia.

Orang tengah dari Thailand bertindak menutup pintu pagar sempadan dan mengeluarkan kata-kata berbaur tohmahan dan ugutan disebabkan tidak berpuas hati penguatkasaan dijalankan ke atas mereka.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, mereka dipercayai hanya mahu menutup pintu sempadan negara berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan perlaksanaan Ops Bersepadu dijalankan, bagaimanapun tidak sengaja tertutup pintu sempadan Malaysia.