Warga emas disyaki lepas tembakan terkena rumah jiran ditahan

Tangki air berlubang dan tingkap rumah seorang penduduk berlekuk dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang pada Selasa
Tangki air berlubang dan tingkap rumah seorang penduduk berlekuk dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang pada Selasa
A
A
A

KLUANG - Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dia dipercayai melepaskan beberapa das tembakan di Taman Delima di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima aduan daripada jiran warga emas itu yang terdengar letupan di belakang rumahnya pada jam 7 petang.

"Susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang melakukan pemeriksaan di belakang rumah jiran warga emas tersebut.

"Pemeriksaan mendapati tangki air dan bingkai tingkap mengalami kerosakan seperti kesan tembakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis menahan warga emas berusia 60 tahun itu pada jam 9 malam Selasa.

Pihaknya turut merampas selaras senapang patah jenis shot gun, tiga butir peluru jenis SME Mega, satu buah buku lesen dan resit memperbaharui lesen senjata api.

Ujar Bahrin, siasatan bagi mengenal pasti punca lelaki berkenaan melepaskan tembakan masih dijalankan.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kejadian jenayah," tambahnya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.