Polis siasat kemungkinan operasi lebih masa

Mohamad Nordin ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
Mohamad Nordin ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya wujud kesalahan beroperasi melebihi masa membabitkan pusat hiburan di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah, di sini yang terbakar hingga mengorbankan enam nyawa, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, namun semakan awal mendapati premis berkenaan mempunyai lesen yang sah bagi menjalankan operasi pusat hiburan.

"Kita akan buat semakan sama ada ketika kejadian premis berkenaan sedang beroperasi atau dalam proses nak tutup. Jika benar masih beroperasi, kita akan ambil tindakan sewajarnya.

"Kita sedang berusaha menghubungi pemilik premis bagi membantu siasatan kes itu dan kes ini disiasat di bawah laporan kebakaran," katanya.

Menurutnya, enam mayat ditemui dalam bangunan berkenaan, dua daripadanya wanita warga Vietnam berusia 19 dan 21 tahun.

"Tiga mangsa lelaki ialah orang tempatan masing-masing berusia 31, 36 dan 37 tahun sementara seorang lagi warga Bangladesh berusia 26 tahun. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Insiden kebakaran ini turut menyebabkan tiga lelaki warga tempatan menerima rawatan di hospital dengan seorang daripada mereka dilaporkan kritikal," katanya.

Dalam kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi itu, seramai 14 mangsa dilaporkan berada dalam bangunan dan berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan anggota bomba kecuali enam mangsa yang dipercayai terperangkap di tingkat empat.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang maut dikenali Tai Chee Kin, 37; Lau Wai Hoong, 36; Chooi Keng Heen, 31, Johirul, 26 dan dua wanita warga Vietnam iaitu Nguyen Thi Thuy Duong, 21 dan Nguyen Thi Trang, 19.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua maut pusat hiburan terbakar

Kebakaran pusat hiburan: Empat lagi mayat ditemui