Pihak berkuasa agama perlu banyakkan program kesedaran vaksin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan supaya pihak berkuasa agama negeri memainkan peranan dengan membanyakkan program kesedaran berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 kepada masyarakat.

Beliau menegaskan usaha mempromosi pengambilan imunisasi tidak seharusnya terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja, memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Isnin.

Muhyiddin berkata, perkara itu ditekankan beliau pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-68 pagi Isnin, yang antara lain bagi menyokong program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.

Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video itu dihadiri ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin berkata, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada 4 Jan lepas.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada bagi menguar-uarkan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, ini bagi mengelak peningkatan kes harian pandemik itu menjadi semakin tidak terkawal. - Bernama

Artikel Berkaitan: