X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Kuantan: Hanya seorang wakil dibenarkan keluar beli barang keperluan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Zairasyahli Syah Zakaria
A
A

KUANTAN - Hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah dalam radius 10 kilometer sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Zairasyahli Syah Zakaria berkata, kebenaran itu diberikan bagi membolehkan penduduk yang ingin membeli barangan keperluan sekiranya tiada pasar raya atau kedai runcit dalam kawasan tempat tinggal mereka.

"Kita benarkan mereka keluar ke kedai yang paling berhampiran dengan kawasan tempat tinggal.

"Kalau boleh sekitar 10 radius kilometer sahaja, tidak perlu pergi membeli barang jauh-jauh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bagi tujuan kesihatan atau vaksinasi pula adalah dibenarkan dengan terhad kepada dua orang sahaja dalam satu kenderaan.

Tambahnya, justeru orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Ini adalah salah satu SOP yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKPD Kuantan, ia bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan memastikan penduduk tidak keluar rumah melainkan dengan tujuan yang dibenarkan sahaja,” katanya.

Sebanyak tujuh mukim di Kuantan dikenakan PKPD berkuat kuasa pada Isnin hingga 6 Jun ini.

Mukim yang terlibat adalah Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar membabitkan seramai 207,967 orang atau 90 peratus penduduk daerah ini.

Dalam pada itu, Zairasyahli menegaskan, PKPD Kuantan mungkin akan bersambung sekiranya kes jangkitan semakin meningkat.

Katanya, namun sekiranya kes jangkitan semakin menurun, PKPD akan ditamatkan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Jadi kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi sektor ekonomi, peniaga perlu meneliti senarai perkhidmatan perlu (essential services) yang telah disenaraikan oleh MKN.

Beliau berkata, mereka perlu membuat pendaftaran essential service menerusi https://essential.pahang.gov.my/.

Katanya, ini bagi menentukan sama ada perniagaan tersebut termasuk dalam senarai yang dibenarkan beroperasi ataupun tidak.

"Jika permohonan diluluskan, satu kod QR akan diberikan bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Perniagaan yang sudah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga perlu membuat permohonan di laman sesawang tersebut,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!