Penduduk Gaza kembali jalani hidup normal

Penduduk Palestin beriadah di tepi pantai di Bandar Gaza selepas konflik Israel-Palestin berlarutan selama 11 hari berakhir pada Jumaat lalu. - Foto: AFP
Penduduk Palestin beriadah di tepi pantai di Bandar Gaza selepas konflik Israel-Palestin berlarutan selama 11 hari berakhir pada Jumaat lalu. - Foto: AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Penduduk Gaza pada Sabtu kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas serangan ganas rejim Zionis ke atas wilayah itu yang berlarutan selama 11 hari berakhir.

Pihak berkuasa mula mengedarkan khemah dan tilam untuk penduduk Genting Gaza ketika usaha kini dilancarkan untuk membina semula wilayah tersebut.

Ketua Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Sarah Muscroft berkata, kempen pengeboman sengit dilancarkan rejim Zionis telah menyebabkan kemusnahan besar di seluruh Gaza.

"Lebih 6,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal. Dianggarkan lebih 1,042 rumah atau unit komersial musnah manakala kira-kira 800,000 penduduk tiada akses kepada bekalan air bersih.

"Projek membangunkan semula Gaza akan membabitkan usaha pada skala besar," ujarnya.

Data OCHA juga menunjukkan operasi ketenteraan rejim Zionis itu memaksa kira-kira 91,000 penduduk Gaza meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan termasuk di sekolah kendalian PBB.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Gaza memaklumkan pejabat kerajaan membabitkan kesemua institusi dan kementerian dibuka semula bermula Ahad.

Situasi yang semakin reda turut menyaksikan 2.4 juta kanak-kanak Palestin di tengah dan selatan Gaza kembali bersekolah menjelang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pendidikan menyatakan sekolah digalakkan memfokuskan usaha untuk memberikan sokongan emosi dan sosial kepada golongan tersebut pada beberapa hari pertama sesi pembelajaran semula tersebut. - AFP