Rejim Zionis biadab, makin melampau!

Gambar diambil daripada rakaman video yang menjadi tular di media sosial memaparkan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin. - Foto Agensi
Gambar diambil daripada rakaman video yang menjadi tular di media sosial memaparkan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin. - Foto Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS - Konflik Israel-Gaza selama 11 hari yang tercetus pada Mei 2021 dikhuatiri berulang setelah keganasan semakin memuncak di Baitulmaqdis.

Ketika ini, komuniti antarabangsa mengutuk keras tindakan biadab rejim Zionis yang mencemari kesucian bulan Ramadan apabila ia berterusan menyerang penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa.

Pihak berkuasa Israel melancarkan serangan ganas kedua ke atas jemaah Palestin di al-Aqsa dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia menyerbu Haram al-Sharif yang merupakan pekarangan masjid tersebut untuk mengusir 'pengacau'.

Beberapa jam sebelum itu, lebih 350 penduduk Palestin ditahan yang turut mengundang bantahan saudara mereka di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Seorang saksi, Abdel Karim Ikraiem, 74, memberitahu polis Israel bersenjatakan baton, bom tangan gas pemedih mata dan bom asap menceroboh masuk ke dalam al-Aqsa.

"Mereka memukul para jemaah termasuk wanita tanpa belas kasihan," ujarnya.

Beberapa rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukkan keadaan kacau-bilau dan tindakan kekerasan secara berlebihan dilakukan terhadap jemaah malah rejim Zionis jelas tidak menghormati masjid ketiga paling suci orang Islam tersebut.

Persatuan Palang Merah Palestin memaklumkan ia turut merawat puluhan mangsa yang cedera termasuk mereka yang dibebaskan selepas insiden tersebut.

Provokasi melampau pihak berkuasa Israel disusuli dengan dua lagi roket dibedil dari Genting Gaza ke selatan Tel Aviv pada lewat Rabu setelah gerakan Hamas melakukan tindakan sama beberapa jam sebelum itu sebagai tanda protes.

Kumpulan Jihad Islam dalam satu kenyataan menyifatkan bedilan roket itu sebagai 'mesej amaran pertama'.

Jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berpendapat Israel sengaja mencetuskan ketidakstabilan, situasi huru-hara dan tegang setelah polis Israel menyerbu serta menyerang jemaah yang sedang iktikaf di al-Aqsa.

Majlis Menteri Liga Arab juga menyelar perbuatan kejam rejim Zionis ke atas jemaah tidak bersenjata di al-Aqsa.

"Serangan dan jenayah ini adalah tindakan provokasi secara terang-terangan yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kitaran keganasan yang mengancam keselamatan dan kestabilan di rantau tersebut," tegas jurucakapnya.

Menteri 'ekstremis' Israel, Itamar Ben-Gvir bagaimanapun dengan angkuh menyokong penuh tindakan tegas yang telah diambil pasukan polis mereka tanpa menghiraukan kecaman negara antarabangsa.

Konflik Israel-Palestin semakin meruncing sejak kerajaan paling berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengambil alih kuasa pada Disember 2022 dan telah meragut sekurang-kurangnya 91 nyawa penduduk Palestin. - AFP