Anggota polis kehilangan ibu bapa, adik akibat Covid-19

Eng Lai turut menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurul Hawana di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada Jumaat. Foto ehsan IPD Sentul.
Eng Lai turut menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurul Hawana di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada Jumaat. Foto ehsan IPD Sentul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran kehilangan ibu bapa dan adik bongsunya yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini.

Ibu Siti Nurul Hawana, Hasminah Parmin, 57, disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada jam 4 pagi, Jumaat lalu manakala bapanya, Amran Sadon, 56, meninggal dunia di hospital sama enam jam kemudian.

Siti Nurul Hawana berkata, dia menerima pula berita kematian adik bongsunya Muhammad Luqman Idham Amran di Hospital Sungai Buloh, pada jam 6 pagi, Ahad.

"Saya reda dengan ketentuanNya dan menganggap kematian ibu dan bapa saya pada Jumaat sebagai hari yang baik.

"Hari ini pula, saya kehilangan adik bongsu, saya berdoa semoga roh ketiga-tiga ahli keluarga saya ini ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pada masa ini, adik iparnya dan anak buahnya yang juga seorang bayi disahkan positif dan sedang menjalani kuarantin di rumah.

Siti Nurul Hawana juga memaklumkan dia telah mengambil vaksin Covid-19 dengan dos kedua pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, ketika dihubungi turut mengucapkan takziah kepada Siti Nurul Hawana dan semua ahli keluarganya atas kehilangan tiga orang tersayang dalam tempoh tiga hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin sampaikan takziah kepada keluarga Siti Nurul Hawana dan saya mahu tegaskan kepada orang ramai bahawa dalam keadaan genting seperti ini kami (polis) juga turut kehilangan ahli keluarga tercinta akibat pandemik Covid-19

"Meskipun dalam keadaan tertekan akibat ada ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19, kita masih menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara khususnya pada masa pandemik ini," katanya.

Eng Lai berharap supaya masyarakat terus kekal mematuhi arahan yang ditetapkan seperti duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dihindarkan.

Pada Jumaat, Eng Lai turut menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurul Hawana di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.