Polis siasat pemimpin politik wanita ziarah Aidilfitri

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis sedang menyiasat laporan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan seorang pemimpin politik wanita tempatan yang menjamu selera beramai-ramai serta mengunjungi rumah ahli keluarga pada Aidilfitri kedua lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung perkara berkenaan.

"Kami masih menjalankan siasatan selepas menerima satu laporan baru-baru ini," katanya di sini pada Ahad.

Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(4), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Berdasarkan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 12 Mei hingga 7 Jun, semua aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial berhubung satu hantaran di laman Facebook (FB) milik wanita berkenaan yang dikatakan meraikan hari raya bersama adik beradik serta ahli keluarganya yang lain.

Gambar yang dimuat naik pada 14 Mei lalu itu memaparkan wanita terbabit yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersama ahli keluarga termasuk beberapa anak saudaranya berkumpul di meja makan.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan sudah dipadam selepas tular di media sosial.

Artikel Berkaitan: