X

Kindly register in order to view this article
!

Solidariti untuk rakyat Palestin

A
A

GENCATAN senjata berkuatkuasa di Semenanjung Gaza pada 21 Mei setelah kerajaan Mesir mengadakan rundingan antara Israel dan Hamas bagi menghentikan konflik selama 11 hari.

Walaupun genjatan senjata tercapai tetapi ia bukan kali pertama dan terakhir Palestin berdepan konflik. Palestin mengalami ketidaktenteraman lebih 70 tahun, malah seluruh rantau Asia Barat telah mengalami ketidakstabilan akibat konflik di Palestin.

Jumlah nyawa terkorban sejak konflik bermula pada 1948 dianggarkan 115,000 orang. Impak konflik di Palestin bukan lagi terhad kepada rantau Asia Barat tetapi seluruh dunia. Ia tidak terhad kepada penduduk Palestin atau masyarakat Islam sahaja. Isu konflik di Palestin menjadi isu sejagat.

Konflik di Palestin menjadi pencetus kepada krisis lain di dunia seperti Krisis Minyak pada tahun 1970-an dan terkini adalah masalah keganasan.

Pemimpin dunia tidak kira Muslim atau bukan Muslim memberi reaksi terhadap konflik di Palestin. Pemimpin bukan Islam, antaranya Latin Patriarchate of Jerusalem atau Ketua Gereja Katolik (Latin) di Baitulmaqdis, Archbishop Pierbattista Pizzaballa lantang mengkritik dasar rejim Israel membenarkan peneroka Yahudi merampas tempat tinggal penduduk Palestin di Sheikh Jarrah.

Menurut Pizzaballa, tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana melanggar hak asasi manusia. Pizzaballa juga menegaskan rejim Israel tiada hak memonopoli Baitulmaqdis kerana kota itu dianggap suci bagi penduduk Palestin beragama Islam dan Kristian. Pizzaballa turut mencadangkan agar Baitulmaqdis ditadbir mengikut Undang-Undang Antarabangsa dan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain Pizzaballa, Pope Francis turut menggesa semua pihak menghentikan pertempuran di Baitulmaqdis. Francis juga mahu memperbaiki keadaan kehidupan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan wilayah diduduki rejim Israel. Vatican telah lama menyokong penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin. Pope John Paul II bertemu Yasser Arafat pada 1987. Pada Februari 2000, Vatican telah menandatangani perjanjian menyokong pihak berkuasa Palestin.

Ketua Gereja Orthodox Yunani, Patriarch Theophilos III turut mengecam tindakan rejim Israel menceroboh Masjid al-Aqsa ketika umat Islam beribadat dan merampas tanah milik penduduk Palestin di Sheikh Jarrah.

Namun, bukan semua pemimpin Kristian mempunyai pendapat sama. Terdapat sesetengah kumpulan Evangelical Kristian di Amerika Syarikat (AS) menyokong tindakan rejim Is-rael seperti John Hagee dan Pat Robertson. Kumpulan Orthodox Yahudi turut membantah pendudukan rejim Israel di Palestin. Mereka tidak sehaluan dengan idea Zionisme dan beranggapan pembentukan ‘negara’ Israel adalah haram.

Negara-negara bukan Islam juga menunjukkan solidariti kepada penduduk Palestin. Kerajaan Ireland yang merupakan negara Eropah memberi sokongan kukuh kepada Palestin. Pada 2018, Parlimen Ireland telah membahaskan Rang Undang-Undang Pendudukan bagi mengharamkan import barangan keluaran Israel yang dihasilkan di kawasan pendudukan seperti Tebing Barat.

Majlis Bandaraya Dublin turut mengibarkan bendera Palestin di pejabatnya selama sebulan walaupun mendapat bantahan duta rejim Israel.

Pada 2016, ketika pertemuan dengan Liga Arab Presiden Xi Jinping menegaskan sokongan China terhadap penubuhan sebuah negara Palestin dengan ibu kotanya ialah Baitulmaqdis Timur. China dengan jelas menyokong kedaulatan Palestin berdasarkan kerangka penyelesaian dua negara dan sempadan 1967.

Korea Selatan, Thailand, New Zealand, Australia, Singapura dan India juga menunjukkan keprihatinan mereka. Selagi isu Palestin tidak dapat diselesaikan dengan adil dan saksama, bukan hanya Asia Barat akan menghadapi pergolakan politik, malah seluruh dunia tidak akan mengalami kedamaian.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!