Kapasiti penumpang pengangkutan awam dihadkan 50 peratus

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengehadkan kapasiti penumpang bagi semua mod perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut sehingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum berkuat kuasa Selasa depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani situasi pandemik Covid-19.

Katanya, bagaimanapun perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan daripada pengumuman itu berikutan kapasiti penumpang yang sudah rendah.

“Bagaimanapun, syarikat penerbangan dan penumpang juga perlu mematuhi SOP ketat seperti ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pengangkutan awam adalah perkhidmatan penting tetapi dalam tempoh ini mengelakkan himpunan secara ramai dan mengurangkan pergerakan adalah perkara lebih utama.

“Oleh itu, MOT berharap orang ramai dapat bersabar dan memahami situasi sukar ini serta bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

“MOT akan memantau situasi dari masa ke masa untuk mengurangkan ketidakselesaan para pengguna dan orang ramai setakat yang boleh,” katanya.

Ka Siong menambah, untuk perkhidmatan bas, feri, rel dan keretapi, agensi-agensi berkaitan di bawah MOT akan mengemas kini jadual perjalanan termasuk menghadkan frekuensi perkhidmatan.

“Pengguna pengangkutan awam digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web dan media sosial penyedia-penyedia yang berkaitan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, dari segi perkhidmatan teksi dan e-hailing, setiap kenderaan penumpang dihadkan kepada tiga orang iaitu seorang pemandu dan dua orang penumpang.

“Termasuk bagi kenderaan yang bersaiz lebih besar seperti 4WD dan van. Sila rujuk butiran SOP terkini oleh MKN,” katanya.