Pahang buka dua lagi PKRC bermula esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini akan dibuka pada Ahad sebagai persediaan menangani peningkatan jumlah kes positif wabak itu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan sistem kesihatan di Pahang tidak lumpuh, jika berlakunya pertambahan kes positif Covid-19.

Menurutnya, pengoperasian pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah itu, sekali gus membuktikan Pahang agresif dalam mengatasi isu membabitkan kesihatan.

"PKRC yang akan dibuka sepenuhnya esok (Ahad) ialah di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

"Satu lagi PKRC di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang dan kini dalam proses disiapkan, kita jangka ia boleh mula digunakan dalam dua atau tiga hari lagi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu

Beliau menjelaskan, pembukaan PKRC di KUIPSAS menjadikan empat PKRC yang akan beroperasi di Pahang.

Menurut Che Adam, sebelum ini, pihaknya telah menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebagai tempat kuarantin.

Katanya, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Pertambahan PKRC yang dibuka di Pahang bukanlah bermakna situasi penularan wabak ini berada di tahap membimbangkan.

"Sebaliknya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat terakhir baru kita nak buat (persiapan)," ujarnya.

Sehubungan itu, Che Adam menasihatkan rakyat Pahang supaya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Pihak kerajaan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!