Gelang emas tak dapat, RM10,422 'terbang'

Gambar hiasan
Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Hasrat seorang jururawat untuk menggayakan gelang emas baharu bukan saja tidak kesampaian, malah kerugian RM10,422 selepas diperdaya sindiket jual beli emas secara dalam talian pada Jumaat.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun melihat iklan di laman sosial mengenai penjualan gelang emas dengan harga murah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat membeli gelang tangan berharga RM422 yang diiklankan itu dan menghubungi seorang wanita.

Setelah mengadakan perbincangan, katanya, mangsa bersetuju membeli dan seterusnya membuat pembayaran.

"Selepas itu, suspek meminta mangsa membuat pelbagai bayaran caj bagi tujuan pembelian gelang emas berkenaan.

"Tanpa sebarang syak, mangsa melakukan tiga kali pemindahan wang secara dalam talian membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM10,000," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan apabila merasakan dirinya ditipu.

Sehingga laporan berkenaan dibuat, katanya, mangsa belum menerima barang yang dibelinya itu.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan urusan pembelian barang kemas tidak wujud menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang besar," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.