Dua beradik sumbang tabung syiling untuk Palestin

Muhammad Hakeem dan Muhammad Harith menyerahkan tabungan wang syiling yang dikumpul mereka kepada Muslim Care Malaysia.
Muhammad Hakeem dan Muhammad Harith menyerahkan tabungan wang syiling yang dikumpul mereka kepada Muslim Care Malaysia.
A
A
A

PARIT - Baru berusia sembilan dan tujuh tahun, dua beradik dilihat berjiwa besar apabila menderma wang yang dikumpul setahun lalu kepada Muslim Care Malaysia untuk rakyat Palestin.

Muhammad Hakeem Mohd Hafizan dan adiknya Muhammad Harith menyerahkan sendiri syiling berjumlah RM160 hasil simpanan belanja sekolah kepada Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail.

Muhammad Hakeem berkata, simpati dengan kesengsaraan yang dihadapi rakan sebaya di negara itu mendorong mereka untuk menyumbangkan duit tabung tersebut.

"Pada mulanya duit ini abang dan adik kumpul sebab nak beli telefon bimbit. Masa tonton berita di televisyen nampak ada budak kecil cedera dan menangis serta ada yang mati. Abang rasa sedih.

"Abang tanya abi (ayah) kenapa kawan-kawan ada yang menangis, mereka luka, banyak darah, abi cakap mereka sedang berperang, ada orang rampas 'rumah' mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kutipan Palestin di Surau Al-Munawwarah, Puncak Iskandar, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Ditanya sama ada dia berasa sedih kerana tidak dapat beli telefon bimbit, Muhammad Hakeem menggeleng kepala dan berkata dia gembira dapat membantu rakan-rakan di Palestin.

Pada majlis itu, sebanyak RM44,345 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Muslim Care Malaysia untuk disalurkan kepada Tabung Palestin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Nizar yang turut menguruskan Tabung Kemanusiaan Palestin Perak akan menyalurkan sumbangan RM100,000 yang diluluskan kepada Muslim Care Malaysia dalam tempoh terdekat.

"Kutipan tabung ini telah dilancarkan dan akan diserahkan dalam tempoh terdekat. Satu pertemuan akan diadakan antara badan bukan kerajaan ini dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

"Kutipan lain akan digabungkan sekali nanti dan sumbangan ini disalurkan terus untuk manfaat rakyat di Palestin," katanya.