PKPD: Bilangan jemaah masjid, surau di Perak terhad 12 orang

Tangkap layar Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan di kawasan yang dikenakan PKPD di seluruh Perak pada Jumaat.
Tangkap layar Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan di kawasan yang dikenakan PKPD di seluruh Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan hanya 12 orang jemaah dibenarkan untuk solat fardu berjemaah di masjid dan surau dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini yang akan bermula pada 22 Mei ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, jumlah tersebut terbatas kepada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

Menurutnya, perkara itu dititahkan baginda setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk kepada garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagi solat Jumaat pula, hanya dibenarkan dilaksana di masjid dan Surau Diri Jumaat sahaja. Bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah sahaja.

"Bagi ahli kariah yang lain, hendaklah solat zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing," katanya menerusi Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan di kawasan yang dikenakan PKPD di seluruh Perak pada Jumaat.

Menurutnya, bagi solat jenazah pula dibenarkan untuk diadakan di masjid, Surau Diri Jumaat dan surau sahaja dengan bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah.

Pada masa sama, bilal yang bertugas pula dikehendaki membuat pengumuman khas memaklumkan ahli kariah untuk melaksanakan solat fardu secara berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing selepas azan dilaungkan.

Mohd Yusop berkata, aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kelas agama dan kuliah pengajian juga tidak boleh diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak khususnya pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini mematuhi pekeliling tersebut bagi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit.

Jelasnya, pihak jawatankuasa kariah juga perlu menetapkan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas.

Tambah beliau lagi, mana-mana masjid, Surau Diri Jumaat dan surau yang melanggar serta tidak mematuhi arahan ditetapkan boleh dikenakan tindakan malah kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta merta.

Kerajaan pada Khamis telah mengumumkan pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 22 Mei sehingga 4 Jun 2021 di empat mukim di Perak iaitu Mukim Pengkalan Hulu Daerah Hulu Perak, Mukim Taiping Daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta dan Mukim Hulu Bernam Timur Daerah Muallim susulan peningkatan kes positif Covid-19.