Selangor perlu diutamakan pemberian vaksin Covid-19

Dr Siti Mariah Ahmad - Foto Bernama
Dr Siti Mariah Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meningkatkan jumlah pemberian vaksin buat penduduk Selangor dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan ke negeri-negeri lain.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, negeri ini mempunyai kepadatan penghuni yang tinggi malah kebanyakan daripada mereka juga merupakan penduduk luar dan bekerja di sini.

Beliau berkata, sekiranya pemberian vaksin dapat ditingkatkan, kadar jangkitan Covid-19 mampu dikurangkan walaupun berlakunya aktiviti rentas negeri.

"Selangor perlu diutamakan (pemberian vaksin) kerana populasi kita tinggi dan jika mereka ini (rakyat) keluar (rentas negeri), maka tidak akan bahayakan negeri-negeri lain.

"Kita perlu cepatkan vaksin di Selangor untuk pastikan kawalan terhadap penularan wabak ini," katanya menerusi rakaman IG Live Sinar Harian pada Jumaat.

Sesi rakaman IG Live Sinar Harian yang menampilkan Siti Mariah sebagai panel jemputan.
Sesi rakaman IG Live Sinar Harian yang menampilkan Siti Mariah sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut, Siti Mariah turut menjelaskan bahawa tujuan pengambilan vaksin adalah untuk meningkatkan antibodi dan seseorang individu yang mengambil dos suntikan berkenaan juga berpotensi terkena semula jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, infeksi atau jangkitan yang dihidapi individu terlibat adalah tidak seteruk berbanding mereka yang tidak divaksin.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut kajian, jika divaksin, mungkin kalau terkena jangkitan pun hanya akan berada pada tahap dua atau tiga sahaja.

"Dengan adanya vaksin, ia dapat mengurangkan mortality serta morbidity," katanya.

Sebelum ini, Siti Mariah menerusi satu sidang media pada Rabu juga berkata, kerajaan Selangor menerusi Selgate Corporation Sdn Bhd sudah menempah sejumlah 2.5 juta dos vaksin Covid-19 untuk kegunaan pekerja industri serta rakyat negeri ini.

Beliau berkata, proses perbincangan mengenai pembelian vaksin berkenaan kini di peringkat akhir dan akan diumumkan dalam masa terdekat.