Doa Eky iringi Harimau Malaya

Shahrel Fikri
Shahrel Fikri
A
A
A

PENYERANG Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi optimis skuad Harimau Malaya mampu mencipta keputusan positif ketika mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Shahrel Fikri berkata, kesemua 25 pemain yang diberi kepercayaan menggalas cabaran kali ini memiliki kemampuan masing-masing dalam memperkasa skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G kempen kelayakan tersebut.

“Saya yakin rakan-rakan sepasukan mampu melakar kejayaan di UAE dan seterusnya membawa pasukan kebangsaan mara lebih jauh. Saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka di sana nanti.

“Saya juga berharap semua rakyat Malaysia khususnya peminat dan penyokong bola sepak mendoakan kejayaan Harimau Malaya pada aksi kelayakan itu. Insya-ALLAH, mereka mampu mencipta kejayaan sepertimana yang kita semua harapkan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini

Shahrel Fikri terpaksa diketepikan daripada skuad Harimau Malaya bagi menghadapi tugasan di UAE selepas mengalami kecederaan pada pergelangan kaki ketika aksi Liga Super berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mei lalu.

Kecederaan yang dialami menyebabkan bekas penyerang Perak berusia 26 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan sehingga terpaksa berehat kira-kira enam hingga 10 minggu sebelum kembali pulih sepenuhnya.

“Siapa yang tak kecewa apabila tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan. Sudah tentu saya juga berasa kecewa kerana terpaksa melupakan impian beraksi bersama pasukan kebangsaan di UAE.

“Tetapi saya percaya kita masih memiliki pemain yang mampu mengisi posisi serangan. Siapa saja yang diturunkan nanti, saya percaya mereka akan memberikan aksi yang terbaik,” ujarnya yang lebih dikenali dengan panggilan Eky.

Artikel Berkaitan:

Hamidin (berdiri, tujuh dari kiri) bersama barisan pemain dan pegawai Harimau Malaya di KLIA pada Khamis.
Hamidin (berdiri, tujuh dari kiri) bersama barisan pemain dan pegawai Harimau Malaya di KLIA pada Khamis.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada 45 pemain dan pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines pada jam 9 pagi Khamis.

“Komitmen serta sokongan Malaysia Airlines terhadap skuad kebangsaan sememangnya tidak dapat dipersoalkan lebih-lebih lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak ini sudah terjalin sejak 2018.

“Menerusi kerjasama Malaysia Airlines ini, perjalanan skuad kebangsaan ke UAE menjadi lebih selesa, sekali gus akan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain skuad kebangsaan apabila turun beraksi nanti.

“Malah, inisiatif Malaysia Airlines mengecat pesawat Airbus 330 dengan liveri Harimau Malaya pasti akan membakar semangat pemain yang melihat serta yang menaiki pesawat ini,” ujar Hamidin.